KEMBALIKAN SEMANGAT BERSIH!

Thursday, November 5, 2009

KESATUAN DAN PERSATUAN TNB MENOLAK KEPIMPINAN DATO' SRI CHE KHALIB!

4 November 2009 : Penentangan Kesatuan dan Persatuan TNB terhadap CEO Terbaik Syarikat GLC Malaysia semakin memuncak bila mereka secara beramai-ramai telah pergi berjumpa Perdana Menteri di bangunan Parlimen hari ini. Sehubungan dengan itu, Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak – Perdana Menteri Malaysia telah mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin Kesatuan dan Persatuan TNB yang terdiri dari TNBJOU,KPPPTNB,PETNB dan PERUNIKA di bilik mesyuarat pejabat Perdana Menteri, Tingkat 4, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Sdr Md Zamri Yasin - Presiden TNBJOU, Sdr Abu Hussin Nikmat-Presiden KPPPTNB, Sdr Abd Shukur Hassan–Yang DiPertua PETNB dan Sdr Nekmat Mohd Seh–Yang DiPertua PERUNIKA telah hadir bersama-sama dengan 27 Pegawai Utama Kesatuan dan Persatuan ke pejumpaan tersebut.


Tujuan utama perjumpaan tersebut diadakan adalah untuk mendapatkan penjelasan terperinci dari pemimpin Kesatuan Dan Persatuan TNB terhadap isi kandungan memorandum yang telah dimajukan oleh Majlis Jawatankuasa Kesatuan Dan Persatuan TNB kepada Perdana Menteri pada 23 Julai 2009. Pemimpin Kesatuan dan Persatuan TNB telah menjelaskan secara terperinci butiran kandungan memorandum yang mengandungi perkara-perkara berikut :-

1. Perlantikan orang luar mengisi jawatan tertinggi dan pertengahan (Top and middle management) di TNB.
2. Kenaikan Pangkat.
3. Tindakan Tatatertib.
4. Sistem Pengurusan Prestasi – Performance Management System (PMS).
5. ‘Outsourcing’ Dan Kerja-Kerja Kontrak.
6. Syarat-Syarat Pinjaman Yayasan TNB (YTNB).
7. Penjualan Harta Syarikat.
8. Pembatalan Usahasama Pemilikan Lombong Arang Batu Di Indonesia.
9. Penutupan Gudang Simpanan Bangsar, Kuala Lumpur.
10. Isu-Isu Tertangguh
* Tuntutan Elaun Kos Sra Hidup (Cost Of Living Allowance-COLA)
* Usia Persaraan Pilihan 58 Tahun.

Pemimpin Kesatuan dan Persatuan telah meluahkan kegelisahan mereka terhadap tindak tanduk serta corak pentadbiran CEO TNB yang semakin menimbulkan masalah dalaman di TNB. Jurucakap Kesatuan Persatuan TNB telah meminta Perdana Menteri mengusahakan sesuatu yang positif sebelum masalah dalaman ini berlarutan dan mampu menjejaskan sokongan pekerja TNB terhadap kerajaan yang ada. Mereka berpendapat CEO terbaik mestilah bukan sahaja mampu menjadikan syarikat untung berbilion ringgit tetapi ianya juga mestilah mampu mengekal dan meningkatkan sokongan pekerja terhadap parti pemerintah. Apakah maknanya jika seseorang CEO itu terkenal dan popular di kaca mata korporat dan kerajaan tetapi dalam masa yang sama ianya gagal memberikan impak kepada sokongan pekerja terhadap kerajaan yang ada? Pemimpin Kesatuan dan Persatuan juga menjelaskan fakta kajian yang dilakukan oleh pengurusan TNB sendiri membuktikan sokongan pekerja TNB terhadap Dato' Sri Che Khalib telah jatuh ke paras bawah 50%. Agenda CEO syarikat GLC selain mencapai keuntungan syarikat hendaklah juga mengambilkira kepentingan nasional melalui pembentukan masyarakat pekerja yang menyokong sepenuhnya dasar-dasar negara terutamanya ketika Perdana Menteri melaungkan slogan 1 Malaysia. Pemimpin Kesatuan dan Persatuan juga mengambil contoh pendekatan bijak dan berhemah yang dilakukan ketika Dato' Sri Jamaluddin Jarjis menjadi Pengerusi TNB. Ketika itu sokongan pekerja TNB terhadap kerajaan merundum kepada kira-kira 15% sahaja kerana pengaruh parti pembangkang yang ujud di TNB.  Dato' Sri Jamaluddin Jarjis telah mengambil pendekatan berhemah dan toleran dalam menyelesaikan permasalahan dan menjaga kebajikan pekerja dan hasilnya terbukti memberi manfaat kepada kerajaan yang ada sehingga sokongan pekerja meningkat kepada hampir 100%. Semangat kerja berpasukan di TNB menjadi kukuh dan berjaya menyediakan asas dan landasan yang kukuh terhadap pembentukan syarikat pemilikan kerajaan.

Perdana Menteri turut bersama-sama dengan pimpinan Kesatuan dan Persatuan menikmati juadah sarapan pagi yang disediakan. Keprihatinan Perdana Menteri terhadap isu-isu yang dibangkitkan amat terserlah dengan memberikan ruang kepada pemimpin Kesatuan dan Persatuan meluahkan isu-isu yang dibangkitkan secara satu persatu. Perdana Menteri juga mencatitkan beberapa maklumat yang diperolehi dan memaklumkan akan meneliti isu-isu yang dibangkitkan dan menimbang tindakan sewajarnya. Kesatuan dan Persatuan TNB merakamkan penghargaan dan terima kasih terhadap Perdana Menteri atas kesudian mendengar dan berbincang mengenai isu-isu yang dibangkitkan. Semuga satu penyelesaian dapat diusahakan supaya Kesatuan dan Persatuan dapat bersama-sama menjayakan slogan 1Malaysia, 1TNB dengan kerjasama rapat pemimpin negara.




1 comment:

  1. CEO TERBAIK MESTI BAIK DIKACAMATA KERAJAAN DAN CORPORATE SERTA MEMPUNYAI AGENDA NASIONAL UNTUK MEMBAWA SOKONGAN PEKERJA PADA KERAJAAN. KEGAGALAN MEMUPUK SOKONGAN PEKERJA PADA KERAJAAN AKAN MENJADIKAN SYARIKAT GLC GAGAL MENGADAPTASIKAN AGENDA PEMIMPIN KERAJAAN DALAM MENJADI CONTOH KEPADA SOKONGAN RAKYAT.

    ReplyDelete